Thursday 13 February 2020

BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU MEMIKUL , JINGGA13 KOTA TINGGI SANTUNI TOK LEMAN

13.2.2020 Khamis, Jingga13 Kota Tinggi yang diketuai oleh Sdr Kamaluddin Md Simpol selaku Koordinator telah mengaturkan satu program gotong-royong di rumah seorang warga emas yang bernama Tok Leman bin Ahmad di Kampong Kelantan, Kota Tinggi, Johor.





Beliau berusia 75 tahun dan tinggal keseorangan. Isteri beliau telah 4 tahun meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak tiri. Anak tiri beliau tidak tinggal bersama. Sebelum ini mereka tinggal di Kuala Sedeli. Setelah kematian isteri, Tok Leman tinggal seorang diri dan mengakibatkan beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain. Tersadailah Tok Leman di Kg Kelantan. Anak tiri beliau tidak mengetahui perkara ini dan hubungan mereka terputus.





Tok Leman telah membina rumah kecil sekadar untuk berlindung dari panas dan hujan di tepi rezeb sungai Kota Tinggi. Tanah tak bergeran dan bersifat sementara. Saiz rumahnya hanyalah berukuran 8' X 14'.





Tiada  sebarang perabut, tiada kerusi meja, tiada barangan elektrik, tiada pinggan mangkuk dan periuk belanga. Tiada bertikar, hanya bertemankan tilam dan bantal saja, itu pun hasil pemberian orang.


Beliau hanya menggunakan air hujan dan kadang kadang air sungai kerana tiada bekalan air paip. Begitu juga, rumah beliau tiada bekalan elektrik. Bila malam tiba, pelita minyak diesel lah yang menerangi rumah beliau. Beliau memberitahu bahawa beliau tidak mampu untuk menanggung kos api & air.





Tok Leman hanya dapat RM 300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Duit inilah yang digunakan untuk segala perbelanjaannya. "Kalaulah Baitulmal boleh bantu RM 200 lagi setiap bulan, senanglah sikit nak berbelanja, untuk sakit demam lagi..." kata Tok Leman.. Sebak, tersentuh hati kami.




Sdr Noorjepri Jailani, Timb Koordinator Jingga13 Kota Tinggi mencadangkan agar Tok Leman dipindahkan ke Rumah Kebajikan Orang Tua Tua, tapi beliau menolak. Beliau lebih senang tinggal disitu. Katanya, beliau tidak beberapa hari saja lagi untuk hidup... Beliau menunggu mati.. katanya. Lebih menyedihkan, beliau berkata, kalau beliau mati sekarang, dalam keadaan beliau tak berduit, siapa nak menguruskan jenazahnya. Siapa nak mandikan dia? Siapa nak solatkan dia? Siapa nak galikan kubur untuk dia? Siapa nak kebumikan dia? Semuanya memerlukan duit.. Sedangkan beliau tidak berduit. Sedih sungguh, menyayat hati, tak sedar air mata kami menitis kebumi.





Kami seramai 10 orang komrad Jingga13 Kota Tinggi cekalkan hati dan berikan sumbangan tenaga untuk membersihkan rumah beliau. Tidak terlalu susah kerja kami kerana rumah beliau berkeadaan bersih. Rumput liar disekeliling rumah beliau dibersih dan diracun. Semua sampah sarap dikutip dan dibuang. Kerosakan rumah beliau, belum lagi kami baiki terutama bahagian dapur, atap dan tangga depan. Kami kekurangan duit ketika ini. Minggu depan kami akan datang lagi dan meneruskannya... insyaallah...



Sebelum kami pulang, kami sempat mengumpulan duit dari poket masing masing dan hulurkan seberapa yang termampu kepada Tok Leman. Terima kasih diucapkan kepada Sdr Norjepri dan Rosli atas sumbangan barang barang keperluan dapur kepada Tok Leman.



Jingga13 Johor merakamkan jutaan terimakasih kepada Komrad Jingga13 Kota Tinggi yang bertungkus lumus membantu Tok Leman..

Zabidie bin Abas
Koordinator Jingga13 Johor