Wednesday 12 February 2014

Bolehkah guru terus menjadi lilin? - Dr Agus

Oleh : PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

10 Februari 2014

TANGGUNGJAWAB guru dalam membangunkan generasi besar sekali.

Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun 2011, keseronokan guru berubah.

Guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem
komputer berpusat.

Ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung.

Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti.

Maka, guru diminta bersabar. Pun begitu, terdapat guru yang hilang sabar.

Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Persoalannya, mengapa mereka mahu mengadakan bantahan ini?

Apa masalahnya dengan sistem PBS ini? Perlukah sistem ini diteruskan atau
dihapuskan?

Bagi saya, sistem ini mempunyai banyak kelemahan yang mewajarkan Kementerian melihat semula pelaksanaannya?

Apa kelemahannya? Saya perturunkan hujahnya di bawah.

Masalah dengan sistem PBS?

1. Sistem ini tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR. Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?

2. Sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang. Di sekolah pedalaman misalnya, bagaimana mereka mahu mendapatkan kemudahan internet untuk merekodkan maklumat pelajar?

3. Sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi. Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat
sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri
kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka.

4. Cara pembahagian band tidak konsisten. Guru-guru sendiri mengakui
hal ini dengan mengatakan sistem ini sebenarnya tidak jujur; adakalanya mereka terpaksa meluluskan band setiap pelajar atas dasar simpati dan hendak mengejar band.

5. Sistem ini menyebabkan tugas utama guru mengajar menjadi semakin kurang kerana masa banyak ditumpukan kepada merekodkan maklumat pelajar dan membuat kerja-kerja perkeranian. Jika macam ini, bagaimanakah kita boleh menghasilkan insan yang cemerlang?

6. Sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik. Ini kerana murid-murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan.

Ibu bapapun tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?

Mengatasi kelemahan PBS?

Hujah di atas menunjukkan kelemahan sistem PBS. Bagi mengatasinya saya
mencadangkan dua perkara.

Pertama, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula. Bagi saya buatlah sistem PBS atau apapun, tetapi jangan hapus bentuk peperiksaan yang sedia ada sekarang.

Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka, tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka.

Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir.

Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50 peratus peperiksaan dan 50 peratus kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah.

Kedua, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru-guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar.

Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer.

Semoganya dengan mengembalikan keseronokan mengajar guru, maka guru kekal menjadi lilin yang menerangi perjalanan generasi akan datang. Amin