KENYATAAN MEDIA
JINGGA13 MALAYSIA
TARIKH: 19 Oktober 2025
PERKUKUH PERANAN GURU KAUNSELING DAN KERJASAMA ANTARA AGENSI DAN IBU-BAPA UNTUK BENDUNG ISU SOSIAL DAN KESELAMATAN PELAJAR.
Jingga13 Malaysia memandang serius terhadap insiden-insiden mutakhir yang melibatkan pelajar sekolah seperti kes buli, rogol sesama pelajar, samaada suka sama suka atau tidak, cubaan bunuh diri, serta kejadian tragis membabitkan pelajar membunuh rakan sendiri. Fenomena ini jelas menunjukkan wujudnya tekanan emosi dan ketidakstabilan psikososial di peringkat sekolah yang tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, Jingga13 Malaysia menggesa agar jabatan kaunseling di semua sekolah diberi mandat dan sokongan penuh untuk bekerjasama secara langsung dengan agensi-agensi luar, termasuk:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu pelajar yang menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental atau psikologi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani kes disiplin berat, buli, serta ancaman keselamatan terhadap pelajar dan guru.
Kerjasama bersepadu ini penting bukan sahaja untuk menyelesaikan kes yang telah berlaku, tetapi juga bagi mengenal pasti dan mencegah potensi masalah sebelum menjadi tragedi.
Langkah pencegahan awal boleh membantu mengelakkan insiden tidak diingini seperti kejadian tembak-menembak, tikaman atau kekerasan ekstrem yang kini semakin membimbangkan di beberapa negara maju, dan mula menunjukkan tanda-tanda penularan di negara kita.
Jingga13 Malaysia berpandangan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pelajar harus menjadi keutamaan utama semua pihak. Guru kaunseling, pihak sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan mesti berfungsi sebagai satu ekosistem pencegahan dan intervensi yang menyeluruh.
Kami juga menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menilai semula keberkesanan program kaunseling sedia ada di sekolah serta menyediakan latihan tambahan kepada guru-guru dalam mengenal pasti simptom awal tekanan mental, kecenderungan agresif, atau gangguan emosi di kalangan pelajar.
Jingga13 Malaysia komited untuk terus bersuara dan mendesak semua pihak bertindak lebih proaktif dalam melindungi masa depan anak-anak bangsa daripada terjebak dalam kitaran keganasan dan masalah sosial.
Dalam masa yang sama, ibu bapa turut memikul tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak dengan asas disiplin di rumah. Jangan terlalu memanjakan anak dengan hiburan yang melampau atau penggunaan gajet tanpa kawalan.
Ibu bapa perlu memantau masa penggunaan telefon pintar, menyemak jenis permainan (game) yang dimainkan, serta meneliti drama atau filem yang ditonton oleh anak-anak. Malah, amat digalakkan agar ibu bapa menyekat laman carian dan menapis kandungan tidak sesuai, kerana anak-anak masa kini semakin bijak menggunakan mod rahsia (incognito) atau memadam sejarah tontonan mereka.
Realitinya, anak-anak zaman sekarang “terlebih bijak pandai” dalam mencari apa yang mereka mahu, justeru peranan ibu bapa sebagai pengawal dan pendidik pertama perlu diperhebat seiring dengan pengawasan pihak sekolah.
Keselamatan dan kesejahteraan pelajar adalah tanggungjawab bersama, antara guru, ibu bapa, dan agensi kerajaan. Jika kita gagal bertindak sekarang, kita bakal berdepan gelombang baharu masalah sosial yang lebih serius pada masa depan.
Sdr Nour Islam Niamat
Koordinator Panatia Tugas-Tugas Khas
Jingga13 Malaysia.