Thursday, 20 August 2026

BORAK UNGGUN API

BORAK UNGGUN API: PLATFORM SANTAI PERTUKARAN IDEA, PANDANGAN DAN IDEOLOGI



PORT BERANGAN, KG CHANGKAT BERANGAN, BUKIT CHANDAN, KUALA KANGSAR - 19 OGOS - 9.00 MALAM

Satu program Borak Unggun Api telah dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Jingga 13 selaku penganjur, Port Berangan dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sultan Azlan Shah (MPM USAS). Program yang berlangsung di Port Berangan, Kampung Changkat Berangan ini mengetengahkan konsep perkongsian dan perbincangan secara santai dalam suasana yang lebih terbuka dan tidak formal. Berbeza daripada forum atau diskusi yang lazimnya berlangsung dalam suasana rasmi, Borak Unggun Api mengambil pendekatan borak santai sebagai medium untuk peserta bertukar idea, ideologi, pendapat serta pandangan terhadap pelbagai perkara yang dekat dengan kehidupan mahasiswa dan masyarakat. Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk menyuarakan pandangan dengan lebih terbuka, di samping mendengar perspektif yang berbeza daripada individu lain.


Konsep ini berteraskan kepercayaan bahawa perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan tidak semestinya berlaku dalam ruang yang formal. Sebaliknya, suasana santai yang jauh daripada kesibukan kota mampu mewujudkan ruang komunikasi yang lebih natural, mesra dan terbuka. Dengan ditemani suasana malam dan unggun api, peserta dapat berinteraksi tanpa terlalu terikat dengan struktur perbincangan formal.

Program ini juga menjadi satu platform untuk membudayakan dialog, keterbukaan pemikiran dan penghormatan terhadap perbezaan pandangan dalam kalangan mahasiswa. Pertukaran ideologi dan pendapat dilihat sebagai satu proses penting dalam membentuk mahasiswa yang mampu berfikir secara kritis, memahami perspektif berbeza serta berani mengemukakan pandangan dengan matang dan berhemah. Akhir kata, Borak Unggun Api bukan sekadar sebuah pertemuan di sekeliling unggun api, tetapi tentang ukhuwah dan sebuah ruang untuk idea, pandangan dan pemikiran dikembangkan.



ALIF HAKIMI BIN HUSSIN.

TIMBALAN YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA USAS