Monday 14 June 2021

SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA MALAPETAKA: GRM YAKIN DSAI MAMPU BINA PERSEFAHAMAN BAHARU POLITIK DEMI HARAPAN RAKYAT

 KENYATAAN MEDIA GRM

15 JUN 202


*SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA MALAPETAKA: GRM YAKIN DSAI MAMPU BINA PERSEFAHAMAN BAHARU POLITIK DEMI HARAPAN RAKYAT*

Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mengikuti perkembangan terbaharu, siri mengadap KeBawah DYMM YDPA sepanjang 9-11 Jun 2021 oleh sejumlah pucuk pimpinan parti politik. 



GRM mengharapkan agar ia menatijahkan suatu harapan baharu terhadap jalan keluar kemelut semasa negara dan selamat daripada malapetaka politik, ekonomi dan kesihatan.

GRM juga memahami ada pelbagai kalangan yang mahu menonjolkan hasrat bagi menerajui halatuju politik negara.

Kami, GRM (Gabungan Reformis Malaysia) amat mengalu-alukan serta mencadangkan agar adanya lakaran baharu persefahaman politik Malaysia terutama dalam menangani kemelut negara hari ini. Keresahan rakyat kian memuncak. Dengan langkah ini, in shaa ALlah, suatu pelan tindakan strategik yang menyeluruh serta lebih meyakinkan boleh dibuat. Ia juga dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap orang politik.

GRM berkeyakinan dan menyokong penuh akan kemampuan Dato Seri Anwar Ibrahim bagi menerajui persefahaman baharu ini berdasarkan pelbagai faktor kekuatan yang dimilikinya. Persefahaman baharu ini juga amat penting dalam merealisasikan Harapan Rakyat.

*HARAPAN RAKYAT

Menginsafi bahawa negara dan global sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dan ketidakpastian. Di peringkat nasional ia merentas daripada isu pandemik Covid 19 hinggalah ke persoalan kos sara hidup.

Memaklumi bahawa semua pihak, semua sektor dan semua peringkat mesti terbabit dalam melakar, membina muafakat dan kekemasan perlaksanaan kepada penyelesaian kemelut yang ada.

Justeru, berdasarkan interaksi GRM yang berterusan bersama pelbagai lapisan rakyat, adalah dirumuskan Harapan Rakyat dengan 5 Teras Strategi bagi pelan tindakan seperti berikut;

*5 TERAS STRATEGI PELAN TINDAKAN*

*1. Menyusun Semula Ekonomi*

Ekonomi negara perlu disusun semula mengikut keutamaan industri; berat, sederhana dan desa. Pelaburan asing berasaskan teknologi IT dan digital dibawa masuk dan diutamakan dalam memperkasa Agenda Digital Ekonomi Manusiawi Malaysia 2030 (ADEM 2030).

Bagi tujuan ini, Badan Penstrukturan Baharu Ekonomi perlu diwujudkan dengan dana RM 50 bilion sebagai modal teroka.

*2. Menyusun Semula Sektor Pekerjaan*

Sektor pekerjaan dilaraskan semula berdasarkan kekuatan ilmu, kemahiran, skil vokasional dan bakat penduduk Malaysia. Rakyat dalam sektor pekerjaan yang bakal pupus di era Revolusi Industri 4.0 akan diberi latihan semula (re-training, re-skilling) secara besar-besaran.

Langkah segera termasuklah mendaftarkan semula  pekerja asing termasuk PATI, rancang jadual pengurangan pekerja asing dan tentukan industri utama untuk negara.

*3. Merombak Struktur Pendidikan Berasaskan Revolusi Industri 4.0*

Sektor pendidikan dirombak semula metodologi dan penghayatan falsafahnya yang mampu menyahut cabaran IR 4.0. Pelbagai aliran kursus terkait ilmu digital baharu diperkenalkan dalam kurikulum peringkat sekolah rendah,  

menengah dan IPT bagi meningkatkan kebolehsaingan pelajar Malaysia di peringkat global.

Penubuhan JK Penstrukturan Pendidikan adalah perlu dengan peruntukan RM10 bilion bagi  penyediaan kemudahan pembelajaran digital.

Kerjasama pendidikan dan industri, terutama dalam bidang industri tumpuan perlulah dipertingkatkan.

*4. Memperkenalkan Harga Lantai Komoditi Utama dan Fokus R&D.*

Harga lantai atau subsidi meningkatkan harga perlu diperkenalkan kepada sektor komoditi utama seperti getah, padi, sawit, koko dan  sebagainya bagi petani kecil. Ia bertujuan memastikan petani kecil tidak menderita akibat kejatuhan harga dunia bagi komoditi utama.

Negara juga perlu memberikan fokus kepada R&D dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing di ladang-ladang. Manakala ladang-ladang pula distruktur semula sebahagiannya bagi pengeluaran makanan seperti penternakan yang tidak memerlukan ramai pekerja.

Demikian juga sektor pertanian lain dan penternakan, subsidi khas perlu diberikan terutamanya dalam menghidupkan Ekonomi Desa.

*5. Pemberian Subsidi Makanan Ruji dan Beberapa Keperluan Asas.*

Harga makanan ruji dan beberapa keperluan asas rakyat Malaysia diberikan subsidi. Ia bertujuan bagi memastikan rakyat cukup gizi dan keselesaan hidup samaada yang tinggal di kota mahupun perdesaan, sekaligus meringankan beban kos sara hidup.


*BERSAMA MAJU KEHADAPAN*

Sesungguhnya masa depan amat mengharapkan kita bermuafakat bersama serta melengkapkan perincian Pelan Tindakan bagi setiap 5 Teras Strategi yang dinyatakan.

Pengemblengan semua tenaga samaada pelajar, belia, wanita, pendidik, petani, pekerja, nelayan, pemandu, pegawai, budayawan, veteran, agamawan, anggota keselamatan dan pertahanan, ahli politik dan sebagainya adalah prasyarat kejayaan bersama.

Demikian juga sektor yang terbabit samaada kerajaan, swasta, koperasi, NGO masyarakat sivil, pendidikan, kesihatan, pertahanan, keselamatan, dan seumpamanya adalah rangkaian agen membina semula Malaysia Baharu.

Malaysia Baharu yang merujuk kepada keluhuran Perlembagaan, tatakelola yang baik, membina masyarakat madani serta kedaulatan undang-undang dan rakyat.

GRM yakin dengan iltizam, keikhlasan dan itqan semua pihak, negara dapat keluar daripada kemelut semasa sekaligus membina Malaysia Baharu yang gemilang.


GRM MEMBINA MALAYSIA BAHARU


MUSTAFFA KAMIL AYUB

Penyelaras GRM & Presiden RAPAT,  


DR BADRUL AMIN Pengerusi Pro98, 


DR IDRIS AHMAD Pengerusi Otai Reformis, 


FARIZ MUSA 

Ketua Kordinator Jingga 13 Malaysia,


 KHAIRUL ANUAR OTHMAN Presiden ARM, 


BRIG GEN (B) DATO ABDUL HADI ABDUL KHATAB 

Presiden PAHLAWAN, 


AZIZAN MEMALI 

Presiden GRVATM,


 MOHD BUSTAM OMAR 

Pengerusi PEMASSA, 


EDDI ARMAN MOHD YUNOS 

Pengerusi GASAK, 


MEJAR (B) RAZALI ALIAS 

Presiden GMPN, 


MUSTAFA MANSOR 

Presiden MASSA,


 ZULKEFLI OTHMAN 

Setiausa GRM.