Friday 21 February 2020

Jingga13 Malaysia nafi penyebaran poster demonstrasi - Sinar Harian

Jingga13 Malaysia menafikan penyebaran poster fitnah di media sosial.

SHAH ALAM - Jingga13 Malaysia menafikan penyebaran poster fitnah berhubung penganjuran demonstrasi Menuntut Peralihan Kuasa PM 8 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.

Setiausahanya, Afzainizam Rahman berkata, demonstrasi yang didakwa berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana itu merupakan satu usaha jahat pihak tertentu yang terdesak sehingga sanggup melakukan tindakan fitnah.
Beliau berkata, tindakan ini juga bertujuan bagi merosakkan nama baik dan reputasi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya.
"Permainan politik desperado, jijik dan kotor ini adalah bagi mewujudkan dan mencipta ketegangan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dengan niat menggagalkan peralihan kuasa berlaku dengan aman," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi poster tersebut, demonstrasi berkenaan didakwa dianjurkan oleh Otai Reformasi, Jingga 13 Malaysia dan Anwar Ibrahim Club (AIC).
Selain itu, gambar bekas Senator Mohamad Ezam Mohd Nor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad; Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong turut dipaparkan dalam poster berkenaan .

https://www.sinarharian.com.my/article/70964/BERITA/Nasional/Jingga13-Malaysia-nafi-penyebaran-poster-demonstrasi