Monday, 27 January 2014

PERUTUSAN KHAS UNTUK RAKYAT MALAYSIA

26 JANUARI 2014, SUNWAY HOTEL

KE ARAH SEBUAH KONSENSUS NASIONAL

1. Lebih empat bulan sudah berlalu sejak kita menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Namun menyambut hari-hari bersejarah ini kurang maknanya jika kita tidak mengamati kerangka lebih besar bagi negara kita di kala ini.

2. Perlu saya tekankan betapa pentingnya kerangka lebih besar ini.

3. Inilah sebabnya saya mengambil peluang untuk memberikan satu perutusan bukan sahaja untuk kalian yang hadir di majlis ini, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia di dalam dan juga di luar negara.

4. Yang saya maksudkan dengan 'seluruh rakyat Malaysia' adalah keseluruhan keluarga anak Malaysia - tanpa mengira kaum, agama, kumpulan budaya mahupun bahasa ibunda; tidak kira sama ada anda menetap di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak; dan tanpa mengira pendirian politik.

5. Tidak kira sama ada anda bersama Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, atau anda tidak bersama kedua-duanya, atau anda bebas ataupun menjauhi politik, saya tujukan perutusan ini kepada seluruh warga Malaysia.

6. Perutusan ini dilakar dengan penuh rasa cinta terhadap nusa dan bangsa, tanpa rasa benci terhadap sesiapa. Ianya dikarang dengan nawaitu penuh harapan, dan bukannya dipenuhi dendam kemusnahan. Ianya dikarang agar semua termasuk diri saya sendiri akan membawa intipatinya pulang dan disebarkan kepada keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, dan sanak saudara agar kita sebagai satu umat akan dapat maju ke hadapan.

7. Di awal kalam saya ada menyebut tentang menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia dan bagaimana untuk memaknai hari-hari bersejarah itu. Pertama sekali, ianya merupakan sambutan hak-hak kita sebagai warga negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebuah dokumen kenegaraan yang dipersetujui bersama oleh pimpinan negara di kala kita merdeka.

8. Perlembagaan ini bukan hanya kata-kata. Ia adalah sebuah dokumen berdaulat yang dizahirkan daripada satu persetujuan di kalangan para pemimpin yang mewakili pelbagai komuniti yang tinggal di tanah air tercinta ini.

9. Ia menjamin hak kita kepada kehidupan dan kebebasan, kepada kebebasan bersuara, berhimpun dan berkesatuan. Ia menegaskan kesaksamaan rakyat di bawah naugan undang-undang dan menjamin kebebasan beragama.

10. Prinsip-prinsip ini wajib dihormati semua komuniti, sama ada mereka dari kalangan majoriti mahupun minoriti. Prinsip-prinsip ini wajib disanjung tinggi ahli-ahli politik dalam percakapan dan perilaku sama ada mereka berkuasa mahupun di kalangan pembangkang. Semua kumpulan masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan, dan semua organ-organ negara wajib mematuhi hak-hak di dalam perlembagaan ini.

11. Identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum cukup terikat dengan keeratan silaturrahim di kalangan semua kaum yang tinggal di bumi tercinta ini. Jika keutuhan silaturrahim ini tercalar, maka identiti kita sebagai warga Malaysia juga bakal terhapus.

12. Maka, selepas 56 tahun merdeka pertalian silaturrahim ini bukan sahaja wujud malah bertambah kukuh dan erat. Namun, mutakhir ini, beberapa keadaan dan kejadian telah mengakibatkan silaturrahim ini, yang merupakan tiang seri identiti kita, semakin renggang.

13. Malah kejadian-kejadian ini seperti semakin menjadi-jadi hingga kelihatan seperti mampu menggugat perpaduan. Walaupun perpaduan di kalangan kita belum lagi musnah, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

14. Kita tidak boleh leka. Ini kerana kita sedang menyaksikan tindakan beberapa pihak yang sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa negara ke ambang kemusnahan.

15. Kita sebenarnya belum menyaksikan usaha sebegini rupa semenjak kejadian-kejadian yang berlaku sebelum tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Suara-suara kebencian dan kemarahan, suara-suara berprasangka buruk dan penuh syak wasangka, dan suara-suara kemusnahan dan kebobrokan yang cuba menghancur-leburkan keharmonian, kerjasama dan persefahaman yang telah kita bina dari runtuhan tragedi ini.

16. Saya menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit dan bersuara. Biarlah suara-suara rakyat yang penuh rasa hormat dan mahabbah, suara-suara yang penuh timbang rasa dan kepercayaan, suara-suara perpaduan dan integrasi mengalahkan suara-suara sumbang yang penuh kebencian, dendam kesumat, perbalahan dan kemusnahan.

17. Kita perlu mengubah halatuju kita dari arah polarisasi yang menjadi-jadi menuju arah penyepaduan yang lebih jitu. Kita perlu hentikan semangat perkauman yang keterlaluan, hentikan budaya menghasut persengketaan dan kebencian terhadap penganut agama, dan merapatkan silaturrahim sesama kita di dalam semangat perpaduan.

18. Para pemimpin dari kedua-dua belah pihak perlu mengenepikan isu kepartian dan menunjukkan semangat kepimpinan sejati untuk meleraikan ketegangan ini dan berusaha memperbaiki keadaan.

Konsensus nasional

19. Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.

20. Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

21. Dalam menegaskan kedudukan Islam dan mengakui bahawa orang Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini, kita mesti menolak tanggapan bahawa Islam sedang terancam. Kita mesti menolak tanggapan bahawa wujudnya satu konspirasi jahat untuk merubah status Islam sebagai agama bagi Persekutuan kepada satu agama yang lain.

22. Pada masa yang sama kita perlu memperakui hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan terpakai buat semua agama lain di tanah air kita. Kita adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai komuniti agama. Dari sudut ini, penganut agama Buddha, Taoisme, Kristian, Hindu, Sikh dan penganut-penganut agama etnik lain perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana yang mereka pilih.

23. Dalam menuju konsensus ini, marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang amat mustahak untuk negara kita maju ke hadapan.

24. Marilah kita bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah dalam isu tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawapan. Tidak kira di peringkat Pusat mahupun di negeri-negeri, marilah kita menetapkan iltizam untuk menghapuskan barah rasuah yang menghantui kita.

25. Masalah kenaikan harga barang tidak mengenal batas kepartian. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang tidak terus mendatangkan beban.

26. Daripada kita mengutuk isu-isu keselamatan negara berdasarkan khayalan kita, marilah kita membantu pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dengan langsungnya membuatkan tempat tinggal kita, sekolah-sekolah kita, malah pusat-pusat membeli belah kita lebih selamat.

27. Adalah menjadi tanggungjawab moral kita, khusus di kalangan kita yang telah dipilih untuk mewakili rakyat, untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsensus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan.

28. Tugas kita terhadap negara, yang jelas lebih mustahak dari tugas kita terhadap parti, memaksa kita memikul cabaran ini. Kita mesti mengukuhkan azam dan mengumpul keseluruhan kekuatan moral kita demi memastikan kejayaan bersama.

Terima kasih.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA