NGO: Siasat Harussani kerana hasut membunuh
Sebuah NGO hari ini membuat laporan polis menggesa agar mufti Perak disiasat berhubung kenyataannya yang "menghalalkan darah" peserta himpunan protes harga barang pada 31 Disember lalu.
Ketua Koordinator JINGGA 13, Fariz Musa (bawah) dalam laporannya di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi berkata, kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria itu berbaur hasutan untuk membunuh.
Beliau menggesa Harussani disiasat bawah Seksyen 503 dan 505(c) Kanun Keseksaan atas dakwaan menakutkan secara jenayah dan khianat awam dengan mengapi-apikan golongan tertentu.
"Mufti Perak seharusnya sedar perhimpunan itu adalah tanda protes rakyat terhadap tindakan kerajaan Umno-BN menaikkan segala kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat dalam tahun 2014.
"Justeru, kenyataan beliau merupakan satu hasutan dan dorongan untuk melakukan keganasan, kecederaan termasuk untuk melakukan pembunuhan terutamanya terhadap mereka yang hadir pada di perhimpunan aman itu," katanya.
Beliau merujuk kepada berita "Harussani: Peserta demo 'bughah', halal darah" yang disiarkan Malaysiakini dengan memetik kenyataan asalnya dalam akhbar Berita Harian, semalam.
Berita Harian semalam melaporkan Harussani sebagai berkata, semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sepatutnya ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan “dihalalkan darah golongan bughah (pemberontak)”.
Fariz turut menggesa Harussani agar meletakkan jawatan kerana kenyataannya itu mencemarkan nama baik institusi mufti.
"Jika Harussani seorang yang waras, beliau sewajarnya meletakkan jawatan sebagai mufti Perak kerana kini dilihat bukan sahaja sebagai boneka kerajaan Umno-BN tetapi memalukan institusi mufti yang seharusnya dihormati dan disegani rakyat," katanya.