Saturday, 11 January 2014

Jom tandatangan bantah barang naik - harakahdaily

JAN 11, 2014 MUHAMMAD FAIZAL

SHAH ALAM: Jingga 13 Malaysia hari ini melancarkan kempen 1 juta tandatangan bagi membantah tindakan kerajaan yang menaikan harga minyak termasuk tarif elektrik sehingga berlakunya berlakunya rantaian kenaikan barang keperluan yang lain.

Kempen yang bermula di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan diperluaskan ke seluruh negara sehingga bulan Mac nanti.

Timbalan Koordinatornya, Amizudin Ahmat menjelaskan Jingga 13 amat perihatin terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Katanya, atas keperihatinan tersebut tandatangan yang berjaya dikumpul ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berserta dengan memorandum sebagai tanda desakkan rakyat atas kesulitan yang mereka hadapi.

"Bermula hari ini kita memulakan kempen 1 juta tandatangan rakyat Malaysia yang membantah kenaikan harga barang.

"Kempen ini akan berterusan ke seluruh negara dan berakhir di Sabah pada bulan Mac nanti, ke semua tandatangan yang berjaya kita kumpul akan diserahkan kepada kerajaan berserta dengan memorandum bantahan," jelasnya pada sidang media.

Menurut beliau kempen ini adalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.

"1 juta tandatangan adalah menunjukkan protes rakyat dan kita mahu kerajaan tahu apa yang ditentang oleh rakyat akibat keputusan tersebut.

"Kita akan terus bertemu dengan rakyat dan meminta sokongan mereka melalui tandatangan agar usaha murni bantahan kenaikan harga barang ini berjaya," sambung beliau.

Menurutnya lagi, selain daripada tandatangan yang dikumpulkan secara bertemu dengan rakyat, mereka yang ingin menyertai bantahan tersebut secara dalam talian di http://change.org/en-GB/petitions/rakyat-malaysia-bantah-barang-naik.

Jelas beliau, Jingga 13 akan terus mendesak kerajaan di bawah Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menurunkan segala kenaikan kos sara hidup ini dan lebih memahami kesusahan yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan berantai.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.