Jingga 13 lapor SPRM isu bayaran RM160j anak syarikat LTAT kepada Astacanggih & Awan Megah
Tarikh: 9 Januari 2013
Tempat: SPRM Shah Alam
Tempat: SPRM Shah Alam
1. Saya membuat laporan ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin dengan gejala penyalahgunaan dana rakyat bagi kepentingan beberapa kerat pimpinan politik.
2. Baru-baru ini, Bakti Wira Sdn Bhd (anak syarikat milik LTAT melalui Boustead Holdings Berhad) mengumumkan pembayaran RM30 juta kepada Astacanggih Sdn Bhd (syarikat milik Deepak Jaikishen, seorang ahli perniagaan yang pernah rapat dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan Dato’ Seri Najib Tun Razak) dan RM130 juta kepada Awan Megah Sdn Bhd (syarikat milik Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Selangor).
3. Alasan rasmi yang difailkan oleh Boustead Holdings Berhad di Bursa Kuala Lumpur bagi pembayaran tersebut adalah untuk membeli saham majoriti Astacanggih Sdn Bhd dan membeli tanah-tanah PT216 & PT220 (Mukim Kapar) dan Lot 1159 (Mukim Bukit Raja) seluas 223 ekar dari Awan Megah Sdn Bhd.
4. Awan Megah Sdn Bhd milik Ketua Wanita Umno Selangor itu dianugerahkan projek penswastaan untuk membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) oleh Kementerian Pertahanan yang bernilai RM72.5 juta. Sebagai balasan, Kerajaan Persekutuan berjanji akan memindahmilik tanah-tanah tersebut menjadi milik Awan Megah Sdn Bhd.
5. Projek itu mengalami kelewatan dan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan. Pada masa yang sama, pindahmilik tanah-tanah tersebut kepada Awan Megah Sdn Bhd tidak berlaku kerana tidak mendapat kebenaran dari Kerajaan Selangor.
6. Oleh yang demikian, fakta-fakta berikut telah dilaporkan dan dibuktikan melalui pelbagai dokumen yang disertakan bersama oleh laman-laman berita maya (seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, fz.com, The Sun, KeadilanDaily, Harakah dan lain-lain) danrafiziramli.com:
a. Astacanggih Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang pemilikan ke atas tanah atau projek penswastaan Puspahanas
b. Awan Megah Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang pemilikan ke atas tanah-tanah PT216, PT220 dan Lot 1159
c. Kos yang dibelanjakan oleh Awan Megah setakat ini hanyalah 10% dari jumlah keseluruhan kos pembinaan Puspahanas berjumlah RM72.5 juta, memandangkan projek itu baru siap 10% setakat ini
d. Awan Megah Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang kepakaran teknikal, pengalaman ataupun keupayaan kewangan untuk menjalankan pembinaan Puspahanas mahupun membangunkan tanah-tanah seluas 223 ekar
e. Kerajaan Selangor telah mengumumkan bahawa ia tidak akan membenarkan sebarang pembangunan komersil dibuat di atas tanah-tanah tersebut
7. Berdasarkan fakta-fakta itu, pembayaran RM160 juta menggunakan dana pencen anggota tentera kepada pemegang saham Astacanggih Sdn Bhd dan Awan Megah Sdn Bhd tidak mempunyai asas komersil dan tidak akan membawa pulangan kepada pelaburan anggota tentera. Tindakan ini dijangka akan merugikan anggota tentera yang mungkin akan kehilangan dana pelaburan sejumlah RM160 juta itu.
8. Oleh kerana urusniaga dan pembayaran ini diumumkan sebulan selepas Deepak Jaikishen melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan keluarga, ia menimbulkan syak wasangka bahawa pembayaran yang tidak ada asas komersil ini dibuat untuk menutup muluk Deepak Jaikishen dari terus membongkarkan rahsia yang boleh memalukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.
9. Urusniaga dan pembayaran ini juga melibatkan Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor yang akan untung besar “atas angin” apabila bakal mendapat pembayaran RM130 juta. Memandangkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Presiden Umno yang pernah menganugerahkan projek penswastaan dan timbal balik tanah 223 ekar ini kepada Raja Ropiaah, ia menimbulkan syak wasangka bahawa anugerah tersebut dan pembayaran RM130 juta adalah penyelewengan dana awam yang tidak menguntungkan orang awam.
10. Saya memohon supaya urusniaga-urusniaga ini disiasat segera bagi memastikan tidak ada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Lebih penting, isu ini membabitkan nama baik dan integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak yang namanya perlu dibersihkan segera melalui satu siasatan yang telus, bebas dan professional .
Dk Vickicknesvaran
Setiausaha Jingga 13 Malaysia
Setiausaha Jingga 13 Malaysia
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=42694