Saturday, 27 September 2025

Menepati janji memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia

 KENYATAAN MEDIA JINGGA13 MALAYSIA


Jingga13 Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 sebagai usaha menepati janji memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia serta mengekang ketirisan.

Namun, kami menegaskan dasar ini mesti dilaksanakan dengan penuh teliti dan berperikemanusiaan agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40, pekerja gig, petani, dan nelayan yang amat bergantung kepada bahan api.

Kami berpandangan:

✅ Penjimatan subsidi perlu digunakan untuk menyokong kos sara hidup rakyat, termasuk tambang awam dan kestabilan harga barang asas.

✅ Infrastruktur sokongan seperti sistem MyKad, pembaca kad, dan aplikasi digital mesti berfungsi sepenuhnya sebelum tarikh kuat kuasa.

✅ Tempoh percubaan lebih panjang wajar diberi, terutama di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi.

✅ Kerajaan perlu jelas mengenai mekanisme agar pekerja migran sah tidak terbeban, sekali gus mengelak kesan buruk kepada sektor ekonomi tertentu.

✅ Reformasi subsidi mesti lebih menyeluruh, bukan hanya petrol, tetapi juga tol, beras, gula, elektrik dan minyak masak melalui model subsidi pintar (smart subsidies).

Bagi kami, subsidi bahan api adalah hak rakyat yang wajib dilindungi. Pelaksanaan yang adil, telus, dan berpihak kepada rakyat akan memperkukuh iltizam Kerajaan Madani untuk memartabatkan Malaysia sebagai negara sejahtera, bermaruah, dan menjadi contoh kepada dunia.


Sdr Nour Islam Niamat

Koordinator Panatia Tugas-Tugas Khas 

Jingga13 Malaysia

Thursday, 26 June 2025

"Hijrah Menuju Masyarakat Madani – Adil, Progresif, dan Berjiwa Rakyat."

 Ucapan Maal Hijrah 1447H / 2025M


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera dan salam perjuangan buat seluruh saudara seislam yang dikasihi,


Dengan penuh kesyukuran, kita menyambut kedatangan 1 Muharram 1447 Hijrah, menandakan lembaran baru dalam kalendar umat Islam. Maal Hijrah bukan sekadar peralihan angka, tetapi suatu peringatan tentang perjuangan, pengorbanan, serta transformasi rohani dan sosial yang pernah dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.


Sebagai Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, khususnya anak muda dan aktivis rakyat, agar menjadikan semangat hijrah sebagai inspirasi untuk terus memperjuangkan keadilan, kebenaran, dan kemanusiaan. Hijrah adalah simbol kekuatan perubahan – dari gelap kepada terang, dari lemah kepada berani, dari individualisme kepada solidariti.


Marilah kita bersama-sama menanam tekad untuk berhijrah ke arah kehidupan yang lebih bermaruah, adil dan sejahtera. Semoga tahun ini menjadi pemula kepada gerakan yang lebih progresif, berpaksikan nilai-nilai Islam yang syumul serta memperkukuh ukhuwah dan perpaduan umat.



"Hijrah Menuju Masyarakat Madani – Adil, Progresif, dan Berjiwa Rakyat."





Salam Maal Hijrah 1447H daripada saya,

Mikhael Iskhandaar

Ketua Koordinator

Jingga 13 Malaysia

Wednesday, 7 May 2025

Gerakan Muafakat Negeri Terengganu

 Kunjungan Mesra Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia, Saudara Mikhael



Pada malam tadi telah berlangsung Program Kunjungan Mesra Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia, Saudara Mikhael, di Negeri Terengganu yang bertempat di AMZ Seafood, Durian Burung. Kehadiran beliau telah disambut mesra oleh komrad-komrad Jingga13 Negeri Terengganu. Insha-Allah, pelbagai program sedang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini demi mengaktifkan semula gerak kerja kami.

Saudara Sharul Nizam

Koordinator Negeri Terengganu